GIG REVIEW: THRASHING KUALA LUMPUR 2012
Band terlibat: Cromok, Metalasia, Langsuyr dan Nuclear Strikes.
Aku akui yang aku sangat-sangat tertunggu-tunggu konsert ini. Okay, ianya bukanlah satu persembahan berskala konsert tetapi untuk kemudahan rujukan, aku tetap akan merujuk gig ini sebagai konsert. Ianya diadakan sempena meraikan 25 tahun penubuhan band thrash metal lagenda Malaysia iaitu Cromok. Mungkin apa yang lebih mengujakan aku dan para peminatnya juga adalah fakta yang ini merupakan persembahan pertama Cromok dengan ahli kumpulan asal selepas 15 tahun.
Aku perlu membuat pengakuan yang aku bukanlah seorang pengunjung gig yang tegar. Sepanjang hidup aku, ini merupakan gig kedua yang aku hadiri. Yang pertama merupakan sebuah gig kecil-kecilan pada sekitar tahun 1999-2000. Itupun kerana ianya diadakan di Kota Bharu, didalam sebuah banglo di Padang Sri Cemerlang dan melibatkan band The Panic, sebuah band Oi! daripada Kota Bharu yang baru sahaja menerbitkan EP mereka yang bertajuk IHP. Aku masih mentah dan aku menghadiri gig tersebut atas dasar aku perlu hadir. Tidak lebih dari itu.
Tidak ada sebab khusus kenapa aku kurang minat menghadiri event-event sebegini terutamanya gig. Mungkin kerana aku tidak begitu menggemari suasana yang bising, hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Kebisingan membuatkan aku kurang selesa. Ianya ironi kerana aku meminati muzik yang boleh didefinisikan sebagai bising.
Tetapi untuk konsert ini aku ketepikan segala ketidakselesaan, ketidakserasian dan kejanggalan. Aku tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan konsert yang boleh sahaja dianggap sebagai mimpi basah kepada sebahagian besar daripada peminat-peminat muzik metal tempatan. Sudah bertahun-tahun aku, dan aku percaya ribuan lagi peminat-peminat Cromok, bermimpi. Kini sudah tiba masanya untuk kami ejakulasi. Apatah lagi dengan barisan ahli kumpulan daripada era album kedua mereka, Forever In Time. Untuk tidak hadir adalah satu blasphemy.
Tiket sudah aku dapatkan sebulan sebelum tarikh konsert. Tarikh keramat 8.4.2012 sememangnya membuatkan aku tidak tidur malam. Ini merupakan band yang bertanggung jawab menukarkan aku daripada seorang ulat buku yang hanya mendengar lagu-lagu di radio kepada seorang ulat buku yang meminati muzik metal secara eksklusif. Masih seorang ulat buku tetapi ulat buku yang kini berlainan citarasa dan sedikit elitis.
Walaupun yang demikian, aku bukanlah seorang peminat Cromok yang teraskeras. Aku berhenti mengikuti perkembangan mereka selepas album ketiga mereka yang bertajuk Yours Truly. Ini adalah kerana selepas daripada album ini diterbitkan, pemain gitar utama Cromok, Khairul Anuar Shariff atau Karl, telah membuat keputusan untuk meninggalkan band ini dan posisinya diganti oleh Hillary Ng, bekas gitaris utama kumpulan Search. Aku dan kebanyakan peminat Cromok dari sekolah lama, tidak merestui hubungan ini dan ianya bukanlah kerana Hillary Ng tidak kompeten. Hillary Ng merupakan seorang lagenda didalam liga beliau tersendiri dan kehebatan dan kepakaran beliau didalam dunia kegitaran, hanya orang tidak waras sahaja yang akan menafikannya. Namun tempat Hillary bukanlah bersama Cromok. Kesimpulannya, Yours Truly merupakan album Cromok terakhir yang aku beli.
Bukan maksud aku untuk mengatakan bahawa Karl itu adalah Cromok. Aku akan tetap tidak akan merestui sekiranya sesiapa sahaja, mana-mana ahli Cromok yang asal, baik pemain drumnya, Tarmizi Mokhtar atau Miji mahupun Syamsuddin Ali ataupun Sam yang merupakan pemain bass dan vokalisnya digantikan dengan personaliti baru. Aku percaya, ramai peminat mereka yang berkongsi pendapat ini dengan aku.
Konsert dijadualkan untuk bermula lebih kurang pukul 4.30 dan pintu utama KL Life, Life Centre, sebuah venue yang mempunyai lagendanya tersendiri bagi peminat Cromok serta peminat metal secara umunya, dijadualkan dibuka pada lebih kurang pukul 4. Aku bersama dengan dua orang lagi kawan telah pun terpacak di venue tersebut seawal pukul 3 bersama dengan beratus-ratus lagi peminat-peminat metal yang sabar menunggu. Hanya beberapa ketika sahaja selepas itu venue tersebut diselubungi oleh lautan lembaga-lembaga hitam yang turut sama menjadi penunggu bersama-sama aku.
Tepat pada jadual, pada pukul 4 petang, peminat mula dibenarkan masuk namun kerana disebabkan pemeriksaan keselamatan teramat ketat, kami semua terpaksa mengharungi 3 lapisan pemeriksaan. Aku sudah teruja. Selang beberapa lama, band pembuka, Nuclear Strikes, sebuah band Thrash/80’s Rock Revival daripada Kajang, Selangor mula mengambil tempat. Apa yang boleh aku katakan adalah band ini mempunyai attitude, penampilan dan gaya persembahan rock 80an yang kental terutama pada vokalis wanitanya, Ladyenna dan pemain gitar utamanya Rex Killer. Namun kualiti bunyi yang agak teruk membuatkan aku tidak dapat mencerna chords, notes dan lagu apa yang dimainkan.
Band pembuka yang kedua pada petang itu adalah lagenda eastern metal daripada Ipoh, Perak iaitu Langsuyr mengambil tempat untuk beraksi. Seperti kebiasaan, aku seronok melihat orang hadapan mereka iaitu Azlanthor beraksi. Kelihatan sedikit sawan kepada sesiapa yang tidak biasa dengan persembahan beliau namun aku sudah cukup kerap melihat persembahan beliau yang dimuatnaik di laman Youtube untuk mengesahkan bahawa itu sememangnya merupakan gaya persembahan beliau sejak daripada azali. Antara lagu yang dimainkan adalah Descent of Fire Breathed dari kompilasi Ipoh Metal Militants Supremacist, In The Name of Sil Khannas dan Occultus Mysticism dari demo Occultus Mysticism serta Sunut dan Mata Ayer dari album Asyik. Sekali lagi kualiti bunyi yang teruk membuatkan aku hanya ternganga sambil cuba mempastikan bahagian lagu yang sedang dimainkan.
Giliran band pembuka yang ketiga untuk mengambil tempat. Metalasia, sebuah band Progressif/Power metal dari Kuala Lumpur mengambil tempat. Aku sememangnya agak tertunggu-tunggu kemunculan band ini. King Shah, walaupun baru sahaja kehilangan anak perempuannya yang meninggal dunia beberapa hari sebelum konsert tersebut mengagahkan diri untuk melunaskan tanggungjawab menghiburkan peminat-peminatnya. Selang seli dua penyanyinya, CD Khanzab dan Muix sememangnya memberi peluang kepada para peminat Metalasia untuk menikmati lagu-lagu dari kedua-dua buah album mereka, Khalifah Alam Maya dan Silantra... Bermula Sebuah Epik, dengan vokalis asal. Antara lagu-lagu yang dimainkan adalah Silantra, Khalifah Alam Maya, Mimpi & Alamat dan Banzai.
Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya telah tiba. Pentas digelapkan bagi membolehkan pemuzik-pemuzik yang dinanti-nantikan oleh hampir 2000 peminat mereka ini bersiap sedia. Bunyi angin mula menguasai venue sebagai petanda bahawa Cromok sudah bersedia. Lagu ulek mayang yang cukup sinonim dengan band ini, dimainkan pada speaker sebagai soundtrack untuk memulakan majlis.
Sekiranya lagu The Ecstacy of Gold susunan Ennio Morricone menjadi runut bunyi untuk membuka pentas bagi setiap persembahan Metallica, maka lagu Ulek Mayang ini tersangatlah padan untuk membuka pentas Cromok. Mistik, asiatik, redup dan suram. Ribuan turut sama menyanyikan lagu tradisional terengganu tersebut dengan Sam, yang tidak lekang dengan senyuman dari telinga ke telinga, bertindak sebagai konduktor. Aku hanya risau jikalau ada pula yang kerasukan.
Tamat sahaja runut bunyi tersebut, Karl, Sam, Miji dan gitaris jemputan Sham Sedious, terus sahaja memainkan note pertama untuk lagu Memories, lagu pembuka untuk album kedua mereka, Forever In Time. Bulu roma aku meremang sehingga ke bulan sepertimana meremangnya bulu roma aku semasa kali pertama aku memasukkan kaset Forever In Time dan memainkan album tersebut didalam radio kaset aku pada awal tahun 1995 dahulu. Aku hampir terejakulasi pra matang.
Aku hanya mampu melihat ribuan disekeliling aku benar benar telah kerasukan. 15 tahun menunggu dan akhirnya, Cromok dengan line up lagenda dari album Forever In Time akhirnya menguasai pentas. Mata aku hampir kebanjiran namun aku gagahkan juga mengawal perasaan. Lirik lagu Memories aku jeritkan sekuat-kuatnya dengan dilatari ribuan suara latar dari peminat mereka tak kira tua atau muda, lelaki atau wanita dari pelbagai bangsa sehinggakan kepada yang berkerusi roda.
Kualiti bunyi cukup memuaskan bagi aku. Amat berlainan dengan dengan kualiti bunyi dari band-band pembuka. Aku menarik nafas lega. Aku yakin ramai yang turut berpuas hati walaupun bunyi bass Sam sedikit tenggelam didalam adunan.
Cromok terus memainkan lagu-lagu berhantu mereka antara lainnya adalah seperti Journey, Unicorn dan Misty dari album pertama mereka Image of Purity, Another You, I Dont Belong Here, The Other daripada album kedua mereka Forever In Time, Little One, Farewell, Castaway dari album Yours Truly serta sebuah lagu cover Rhoma Irama yang bertajuk Ghibah. Secara keseluruhannya persembahan Cromok memakan masa lebih kurang 1 jam 50 minit. Sukar untuk aku percaya. Seolah-olah baru setengah jam persembahan diadakan.
Cromok meninggalkan stage untuk menandakan tamatnya persembahan mereka sebelum muncul semula untuk encore dengan memainkan lagu Obsessed dari album Forever In Time. Para peminat mengambil peluang ini untuk melepaskan segala saki baki tenaga yang ada untuk menggila buat kali terakhir sebelum konsert benar-benar tamat. Mosh pit turut dibuka dihadapan aku sehingga memaksa aku berundur kebelakang. Aku tidak mahu terperangkap. Umur walaupun tidaklah tua tetapi pastinya sudah bukan belia remaja.
Selesai sahaja lagu Obsessed, aku bersama dua orang rakan terus mencari arah untuk keluar dari venue. Aku tidak mahu bersesak sesak walaupun sempat juga aku mendapatkan sehelai baju konsert dan sekeping poster sebagai kenang-kenangan. Kami keluar dari venue ditemani hujan rintik-rintik yang terus mengganas. Aku terus ke kereta yang diletakkan di bangunan berhampiran sedang jam sudah menunjukkan pukul 7.45 malam.
Apa yang aku dapat simpulkan kedalam satu perkataan adalah ianya menghiburkan. Aku berpuas hati dengan kualiti bunyi sewaktu persembahan Cromok walaupun aku tahu ianya bukanlah kualiti bunyi yang terbaik. Kualiti bunyi untuk band-band pembuka sejujurnya amatlah menyedihkan. Malah menyedihkan itu adalah satu kenyataan yang mengelirukan. Aku sepatutnya menyimpulkan kualiti bunyi tersebut sebagai buruk.
Pada pendapat aku, sekiranya Langsuir dan Nuclear Strikes tidak beraksipun tidak menjadi masalah. Aku terlalu penat menunggu kerana band pembuka memainkan terlalu banyak lagu. Cukup sahaja Metalasia menjadi pembuka selera, kerana aku yakin ada juga segelintir peminat yang hadir semata-mata mahu melihat Metalasia. Ini adalah kerana, berbanding dengan dua band pembuka sebelumnya, Metalasia agak jarang dapat beraksi dipentas bawah tanah sedangkan Langsuir dan Nuclear Strikes sedang aktif melakukan persembahan disana sini. Aku boleh melihat persembahan mereka dimana-mana sahaja sekiranya aku mahu. Walau apa pun, kesemua mereka telah memberi persembahan yang mantap walau kualiti bunyi yang amat menyedihkan.
Segala sendi-sendi aku sakit. Dari kaki sehingga ke lutut aku lenguh lenguh kesengsaraan akibat terlalu lama berdiri. Leher aku sakit-sakit walaupun aku sudah pun berwaspada untuk tidak menggoyang kepala secara ekstrim. Telinga aku berdesing selama berhari-hari. Hampir sahaja aku memohon untuk cuti sakit akibat terlalu penat. Namun aku berpuas hati kerana berpeluang menyaksikan lagenda thrash metal tempatan beraksi dihadapan mata. Aku sudah cukup puas. Cukup klimaks.
Ejakulasi!
Leave a Reply